Friday 16 November 2012

Anggota polis perlu insurans peribadi

Oleh MALINDA ABDUL MALIK


SALLEH (kanan) bertanya sesuatu kepada Abu Talib yang cedera dirempuh penunggang motosikal ketika melawatnya di Penang Adventist Hospital, George Town semalam.




GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat mewajibkan anggotanya dicarum dengan skim perlindungan insurans peribadi sebagai persediaan jika berlaku kejadian buruk termasuk di luar waktu bertugas.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, langkah itu merupakan pelengkap kepada insurans berkelompok yang diluluskan kerajaan pada Bajet 2013.
Menurut beliau, insurans peribadi penting memandangkan kemalangan semasa bertugas sehingga melibatkan kecederaan serius kerap berlaku.
"Kejadian pegawai atau anggota polis dirempuh semasa bertugas sering berlaku sejak akhir-akhir ini sehingga memberi kesan buruk kepada anggota tersebut.
"Kita tahu kerajaan menyediakan peruntukan perubatan (kepada polis) tetapi jika mereka sendiri mempunyai skim perlindungan diri peribadi ia lebih baik," katanya selepas melawat seorang anggota polis trafik yang menjadi mangsa kemalangan yang kini dirawat di Penang Adventist Hospital di sini semalam.
Dalam kejadian Isnin lepas, Lans Koperal Abu Talib Shariff parah dirempuh motosikal di Kilometer 127.6 menghala arah utara di Sungai Dua, Butterworth.
Mangsa ketika itu sedang mengeluarkan surat saman kepada seorang pemandu kereta yang tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju.
Dia tiba-tiba dirempuh seorang penunggang motosikal dan mengheretnya sejauh 30 meter sebelum tercampak ke lorong kecemasan.



Jumaat, 16 November 2012

No comments: